Thursday, November 17, 2011

~Harimau Muda Tunjuk Jaguh~


KOSMO Online.
JAKARTA – Panas, dramatik dan penuh mendebarkan!
Itu yang berlaku di Stadium Gelora Bung Karno malam tadi yang menyaksikan Harimau Muda berjaya membenam ego Indonesia hasil kemenangan 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan A temasya Sukan SEA 2011.

Kemenangan tersebut menyaksikan Harimau Muda mara ke saingan separuh akhir apabila mengungguli Kumpulan A dengan mengumpul sepuluh mata – satu mata di hadapan Indonesia yang turut menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik pada temasya kali ini.
Namun yang paling mencuri tumpuan pada aksi malam tadi ialah apabila jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee diarahkan meninggalkan bangku simpanan pemain pada minit ke-68 selepas beliau didakwa mempertikaikan keputusan pengadil perlawanan, Fahad Alkassar dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Tampil di hadapan hampir 100,000 penyokong fanatik Indonesia, Kim Swee menurunkan kesebelasan terbaiknya dengan Mahali Jasuli, Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Asraruddin Putra Omar terus diberi kepercayaan berada di benteng pertahanan, manakala Khairul Fahmi Che Mat kekal menjaga gawang Harimau Muda.Bahagian tengah pula dijana kapten Baddrol Bakhtiar sambil dibantu empat pemain – Mohd. Irfan Fazail, Mohd. Fandi Othman, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Muhd. Nazmi Faiz Mansor sementara Izzaq Faris Ramlan bergerak solo di jentera serangan.

Sang Garuda Muda pula tidak menurunkan beberapa tonggak utamanya dalam kesebelasan utama seperti penggempur berbisa, Patrich Wanggai dan Octovianus Maniani. Seawal minit keempat, Baddrol terlebih dahulu menguji benteng Sang Garuda Muda yang diterajui penjaga gol, Andritany Ardhiyasa. Bagaimanapun, rembatan Baddrol dari luar kotak penalti berjaya dinafikan Andritany.

Ketika perlawanan baru memasuki minit ke-14, pemain sayap lincah, Wan Zaharul Nizam terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan dan tempatnya digantikan oleh Syahrul Azwari Ibrahim.

Penyerang Malaysia Izzaq  Faris Ramlan dikawal rapi oleh pertahanan indonesia Seftia Hadi (kiri) dalam pertemuan di Jakarta malam tadi.
Baru tiga minit berada di tengah padang, Syahrul mula menunjukkan bisanya apabila berjaya merobek gawang Indonesia menerusi satu serangan balas pada minit ke-17. Gol tersebut ternyata menyemarakkan barisan Harimau Muda menggempur kubu tuan rumah. Pada minit ke-22, pemain tengah, Muhd. Nazmi Faiz Mansor berpeluang menguji benteng Indonesia, namun percubaannya gagal menghasilkan gol.

Dengan sesekali Indonesia mengacah kubu Harimau Muda, Baddrol dan rakan-rakan sepasukannya jelas sekali berjaya menyerap tekanan dengan terus melancarkan beberapa serangan ke gawang Indonesia. Namun, tiada sebarang tambahan gol dicipta kedua-dua pasukan. Pada minit ke-56, Izzaq dilayangkan kad kuning selepas mengasari Andritany dalam kawasan penalti. Dua minit kemudian, Kim Swee membuat pertukaran dengan memasukkan pemain tengah, K. Gurusamy dan digantikan dengan Irfan.

Biarpun beberapa percubaan dihasilkan kedua-dua pasukan, namun tiada gol dijelmakan sehingga wisel penamat ditiup oleh Fahad. Dengan kemenangan itu, Harimau Muda akan membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan B, Myanmar, manakala Indonesia berdepan juara Kumpulan B, Vietnam pada aksi separuh akhir esok (19 November). Dalam pada itu Kim Swee ketika ditemui berkata, dia gembira dengan karaktor yang ditunjukkan skuad muda negara pada perlawanan tersebut.

“Mereka bukan sahaja berdepan dengan pemain Indonesia tetapi juga ribuan penyokong fanatik tuan rumah. Kemenangan ini tidak bermakna jika kita gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangai pada Sukan SEA 2009 di Laos,” katanya.

Joey’s World

P/S: Syabas Team Malaysia! Malaysia Boleh! :)
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
-Jadikan Handphone anda sebagai mesin jana wang!
http://wowtoneexcel2u.blogspot.com
http://toneexcel.biz/index-php?id=41285

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...