Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Ungkapan dua kalimah syahadah, atau mengucap dua kalimah syahadah merupakan dua susunan perkataan yang nilainya di sisi Allah dan orang-orang yang beriman adalah melebihi daripada nilai dunia dan segala isinya. Diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa “Sekiranya hendak ditimbang nilai dua kalimah syahadah dengan segala isi dunia, nescaya timbangan yang membawa dua kalimah itulah yang terlebih berat”.
Dua kalimah syahadah adalah dua ungkapan yang mesti diucapkan dengan lidah dan diakui dengan hati yang ikhlas oleh setiap orang yang ingin memeluk agama Islam. Yakni, dua kalimah inilah yang menjadi perantara di antara seorang Muslim dan bukan Muslim. Apabila seseorang yang sebelumnya menganut agama lain kemudian ingin memeluk agama Islam, maka dia perlu mengucap dua kalimah syahadah inilah.
Dua kalimah syahadah adalah rukun yang pertama daripada lima rukun Islam. Maksud rukun itu sendiri ialah; dasar, tiang, asas dan sendi (Kamus Dewan, ed.4, 2007). Jadi lima rukun Islam itu akan membentuk jatidiri seseorang muslim (orang yang beragama Islam) itu sendiri, sama ada ia benar-benar Islam atau sebaliknya. Sekiranya pincang salah satu daripada rukun itu, maka Islam seseorang tidaklah seperti sepatutnya. Dua kalimah syahadah ini merupakan rukunnya yang pertama maka ia perlu dihayati sesungguh-sungguhnya oleh setiap orang Islam.
Kata guru ana “Kalau tak cukup rukun, atau tidak sempurna rukun, tak taulah sama ada Islam seseorang manusia itu diterima atau tidaknya. Macam orang suruh tukang rumah buat rumah, tetapi ia tidak mahu ada tiang rumah, tak tahulah tukang rumah mana yang sanggup buat rumahnya itu, kerana apa yang diingininya itu bukanlah rumah sebenar rumah seperti fahaman dan ilmu seseorang tukang rumah”.
Dua kalimah syahadah ini juga satu ungkapan yang menjadi syiar umat Islam apabila mereka melaungkan azan bagi menyeru manusia untuk mengerjakan solat. Tidak diterima azan atau tidak dinamakan azan tanpa ucapan dua kalimah syahadah ini.
Syahadah maksudnya penyaksian
Dua kalimah syahadah ini adalah lafaz penyaksian. Bermaksud aku sanggup menjadi saksi bahawa tidak ada Tuhan yang disembah, yang ditaati, yang benar, yang mentadbir, dan yang segala-galanya melainkan Allah. Dan aku juga sanngup menjadi saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah yang tidak akan menyampaikan sesuatu melainkan apa-apa yang disuruh oleh Allah; sama ada daripada segi perkataan, perbuatan dan semua tingkahlaku baginda.
Mafhumnya, tidak sahlah penyaksian seseorang yang tidak menuruti kehendak-kehendaki lafaz dua kalimah syahadah ini. Iaitu yang tidak tunduk dan tidak patuh kepada suruhan Allah, atau mana-mana suruhan Allah. Tidak percaya kepada semua yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, atau mana-mana di antara sunnah Rasul itu. Seseorang saksi, ia sanggup menyaksikan setiap apa yang disaksikannya atau yang dipercayainya dengan sepenuh-penuh penyaksian. Tidak ragu-ragu lagi.
Penyaksian kepada dua kalimah syahadah ini pula letaknya di hati. Bukan pada lidah semata-mata. Sebab mana manusia pernah menyaksikan Allah? Mereka tidak pernah melihat Allah tetapi merasakan dengan hati akan kebesaran dan perlunya mereka patuh kepada segala perintah Allah. Mereka sekarang ini juga tidak pernah berjumpa dengan Rasulullah SAW tetapi kemurnian risalah yang dibawa oleh Baginda dan ketinggian akhlak baginda yang dipelajari daripada hadis-hadis menjadikan manusia itu yakin akan setiap perkara yang dibawa baginda itu benar daripada Allah SWT.
Mungkin kita pernah dengar “saksi palsu”. Saksi palsu ini tidak akan diterima oleh mana-mana mahkamah di dunia, apatah lagi mahkamah Allah di akhirat. Kita juga mungkin pernah dengar orang beerkata ”sesiapa yang derhaka kepada ibubapanya, tidak dapat mengucap apabila ajal menjemput”. Kenapa berlaku demikian? Kerana, pekerjaan menderhaka ibubapa itu adalah larangan Allah, jadi mana boleh si penderhaka kepada suruhan Allah akan menyaksikan kebenaran Allah? Contoh ini memberi gambaran bahawa, penyaksian si penderhaka kepada Allah tidak akan diterima hatta mungkin mulutnya sendiri tidak akan mampu melafazkan dua kalimah syahadah di saat ia memerlukannya.
Penghayatan
Ungkapan dua kalimah syahadah ini sepatutnya dihayati oleh umat Islam pada setiap masa dan ketika. Tidak berlalu sesuatu waktu kecuali diperbaharui ingatan dan penghayatan kepada kedua-dua lafaz ini. Seseorang muslim hendaklah senantiasa membasahi bibirnya dengan ucapan dua kalimah syahadah. Lalu hatinya juga akan turut dibasahi dengan nilai iman, taqwa dan rasa penyerahan serta penghambaan kepada Allah dan ketaatan kepada apa-apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Kelalaian umat Islam untuk terus memperbaharui rasa penghambaan dan ketaatannya melalui ucapan dua kalimah keramat ini akan menjadikan mereka alpa dan leka. Seterusnya sesat dan menyimpang daripada jalan yang lurus itu. Na’uzubillah min zalik. Lantas mereka mudah terpedaya dengan hasutan syaitan yang menjadi musuh tradisinya sepanjang kehidupan. Lantas mereka lalai dengan tipu daya dunia yang bersifat sementara lalu lupa kepada kehidupan akhirat yang kekal abadi.
Semuanya mungkin bermula daripada kealpaan kepada ungkapan dua kalimah syahadah inilah.
Kalaulah rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan ibadah haji itu dituntut melakukannya sekali seumur hidup apabila telah mencapai kemampuan sama ada daripada segi kewangan, kesihatan dan keselamatan. Kalaulah rukun yang keempat iaitu zakat itu dituntut melakukannya apabila cukup nisab dan haulnya bagi yang berkemampuan. Kalaulah rukun ketiga iaitu puasa itu dituntut melakukannya setahun sekali selama sebulan pada bulan ramadhan dan kalaulah rukun Islam yang kedua iaitu solat itu dituntut melakukannya lima kali sehari maka ungkapan dua kalimah syahadah yang menjadi teras, paksi dan sendi agama ini dituntut melakukannya setiap masa dan ketika.
Rukun-rukun Islam yang lain itu memerlukan kemampuan daripada segi fizikal, kewangan dan sebagainya namun rukun yang pertama dan yang asas ini tidak sedemikian. Ia hanya perlu kepada ingatan di hati yang secara ikhlas melafazkan dengan lidah demi menyatakan penyerahan dan pengabdian serta tunduk dan patuhnya seseorang itu kepada tuntutan dan kehendak agama.
Oleh kerana itulah, sepatutnya seseorang Islam itu sentiasa melafazkan dua kalimah syahadah ini pada setiap masa dan ketika. Ia merupakan tuntutan agama yang mana waktu masuknya adalah pada setiap masa. Tidak ada waktu khusus seperti solat, puasa, zakat ataupun haji. Ia adalah ibadah sepanjang masa. Dan ia adalah asas yang utama.
Sebab itu, orang yang mati dalam keadaan ingat kepada kedua lafaz utama ini akan diterima di sisi Allah. Sabda Rasulullah SAW (hadis sahih) “Barangsiapa yang mati dengan mengucapkan dua kalimah syahadah maka ia layak memasuki syurga Allah” atau sebagaimana maksud lafaz daripada Rasulullah SAW.
Amalan
Lafaz dua kalimah syahadah ini bukan hanya untuk diucapkan oleh mereka yang baru nak masuk Islam sahaja. Mereka yang dah lama Islam itu tidak perlu mengucapkannya pula. Sebaliknya sebagai umat Islam, kita perlu sentiasa mengucap dua kalimah syahadah dengan niat memperbaharui nilai iman dan Islam (penyerahan diri kita kepada Allah dengan mengikuti segala syariat-syariatnya yang dibawa oleh Rasulullah SAW).
Samentelah lah pula apabila Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa “Pada akhir zaman, manusia berpagi-pagi dengan Islam kemudian berpetang-petang dalam keadaan kafir. Ataupun mereka berpetang-petang dalam keadaan Islam kemudian berpagi-pagi dengan kekufuran”. Maksudnya kadang-kadang manusia muslim itu terdedah dengan kekufuran pada setiap masa. Walaupun zahirnya mereka tidak menyembah selain Allah seperti berhala dan sebagainya, tetapi mereka mungkin mengambil sesuatu ajaran selain syariat Allah sebagai amalan itupun sudah cukup untuk menjadikan berpaling daripada Islam.
Sekurang-kurangnya pun mereka melakukan perbuatan syirik (menyekutukan Allah) yang tersembunyi di dalam hati. Seperti merasai kesempurnaan diri, takabur (besar diri), ujub (bangga diri) dan lain-lain sifat hati yang mazmumah maka itu telah menjadikannya melalukan perbuatan yang menyekutukan Allah kerana meletakkan diri mereka pada tempat Allah yang maha sempurna, berkuasa, perkasa dan seumpamanya itu.
Apabila perkara ini telah dilakukan, maka mereka perlu segera kembali kepada Allah dengan mengucap dua kalimah syahadah semula. Mereka perlu kembali beriman dan berpegang teguh dengan ajaran Allah bahkan memperjuangkannya. Semuanya itu perlu dimulai dengan penyerahan diri melalui ungkapan dua kalimah syahadah itulah. Kerana segala amalan umat manusia tidak ada nilai di sisi Allah melainkan mereka terlebih dahulu menyatakan iman dan penyerahan diri kepadaNya.
Sepatutnya apabila bangun sahaja dari tidur, kita mengucap dua kalimah syahadah. Memulakan ibadah seperti solat, puasa dan sebagainya itu dengan ucapan dua kalimah syahadah. Memulakan kerja mencari rezeki dengan kalimah dua syahadah. Apabila pulang dari kerja kita mengucap dua kalimah syahadah, takut-takut semasa kerja tadi kita melakukan atau memperkatakan sesuatu mengeluarkan kita daripada landasan patuh kepada Islam yang membatalkan iman. Wal iya zu billah.
Dan yang paling penting, apabila hendak tidur, kita mengucap dua kalimah syahadah. Kerana sabda Rasulullah SAW “Barang siapa yang kalimah akhirnya adalah ‘La Ilaha Illallah’ nescaya akan masuk syurga”. Pesan guru ana “kalaupun sudah terlalu letih, dan tidak sempat ingin membaca perkara-perkara lain (zikir) maka ucapkanlah sekurang-kurangnya lafaz dua kalimah syahadah” sebelum tidur. Mana tahu, itulah kesempatan kita yang terakhir.
Kesimpulan
Marilah sama-sama kita mempertingkatkan kefahaman dan amalan kita yang berkaitan dengan dua kalimah syahadah ini sama ada secara langsung (lafaznya) atau tidak langsung (pengajarannya yang berbentuk penyerahan diri sepenuhnya kepada ajaran agama Allah). Lazimilah ucapan dua kalimah syahadah ini pada setiap masa dan ketika walau di manapun kita berada selagi hayat dikandung badan. Semoga kembalinya kita kepada Allah nanti adalah dalam keadaan menyerah diri kepadaNya secara keseluruhan dan sempurna.
Firman Allah (Ali Imaran:102) “Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan janganlah kamu mati melainkan sebagai orang Islam (yang menyerah diri kepada Allah secara sepenuhnya).
Wallahu A’lam…
No comments:
Post a Comment